Senarai 26 pemain Harimau Malaya untuk perlawanan persahabatan September ini meraih perhatian ramai apabila terdapat 3 muka yang tidak dijangka telah berjaya menambat hati Kim Pan-gon. Antaranya ialah:
Nur Shamie Iszuan (pemain sayap kanan)
Pemain sayap kanan ini kembali mendapat kepercayaan Kim Pan-gon setelah kali terakhir beliau menyarung jersi Harimau Malaya sewaktu kejohanan Piala AFF Mitsubishi 2022 tahun lalu.

Nur Shamie yang baharu pulih daripada kecederaan lutut kiri terpaksa disisihkan dalam beberapa perlawanan awal Liga Super musim ini dan mula kembali beraksi sewaktu pertengahan bulan April yang lalu.
Pemain berusia 28 tahun ini telah diturunkan dalam 8 perlawanan liga dan aksi positif Nur Shamie setelah pulih dari kecederaan berjaya meyakinkan Kim Pan-gon buat kali kedua.
Selain posisi sayap, Shamie juga mampu beraksi di bahagian pertahanan sisi pasukan.
Azam Azih (pemain tengah bertahan)
Prestasi semasa Azam Azih yang semakin meningkat berbanding musim lalu menyebabkan Kim Pan-gon kembali memanggil beliau untuk mengisi posisi tengah Harimau Malaya.

Musim ini, Azam Azih telah merekodkan 2 gol dan 2 bantuan jaringan bersama Sri Pahang dalam 16 perlawanan liga dan menjadi pemain penting Sri Pahang di bahagian tengah pasukan.
Isu kecederaan menyebabkan Azam Azih kerap disisihkan pada tahun lalu dan kali terakhir Azam Azih beraksi buat Malaysia adalah sewaktu menentang Hong Kong pada bulan Mac tahun ini.
Pemain tengah bertahan ini bakal menjadi aset penting Kim Pan-gon yang gemar menggunakan pemain tengah bertahan dalam perancangan taktikalnya.
Junior Eldstal (pertahanan tengah)
Junior Eldstal yang kini dipinjamkan ke Dewa United mengejutkan ramai pihak apabila namanya turut berada dalam senarai kali ini.

Pemain pertahanan berusia 31 tahun ini kerap disisihkan pada bulan Julai lalu bersama Dewa United ekoran isu kecederaan.
Namun kualiti bertahan Junior sewaktu aksi cemerlang beliau dalam kelayakan Piala Asia menjadi salah satu faktor Kim Pan-gon memanggil semula pemain ini walaupun baru sahaja pulih dari kecederaan.
Penutup
Beberapa nama yang tidak dijangka ini bakal menjadi percaturan baharu Kim Pan-gon dalam mencari kesebelasan terbaik beliau bagi aksi Piala Asia pada awal tahun hadapan.