Advertisement
3 Wakil Liga A1 Semi Pro Beraksi Di Piala FA
Piala FA
MakanBola
MFL

Saingan Piala FA musim ini akan diserikan dengan kehadiran 3 pasukan dari Liga A1 Semi Pro.

Perkara ini telah diumumkan menerusi satu hantaran oleh pihak Malaysian Football League (MFL) yang menyaksikan 16 pasukan yang akan bersaing bagi merebut gelaran juara bagi musim 2024/2025.

Satu tarikan istimewa bagi musim kali ini adalah penyertaan tiga pasukan dari Liga A1 Semi Pro yang bakal memeriahkan saingan Piala FA di samping 13 kelab dari Liga Super.

Tiga pasukan Liga A1 Semi Pro tersebut adalah Kuala Lumpur Rovers FC, Bukit Tambun FC dan Malaysian University yang diberi peluang untuk berentap menentang jaguh-jaguh dari kancah liga bola sepak tertinggi negara.

Manakala 13 pasukan yang lain terdiri daripada kelab-kelab di Liga Super iaitu JDT, Selangor, Kedah Darul Aman, Sabah, Terengganu, KL City, Sri Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan Darul Naim, Kuching City, Penang dan PDRM.

Satu majlis undian Piala FA musim 2024/2025 bakal diadakan pada Khamis, 16 Mei 2024 jam tujuh malam dengan siaran langsung dibawa khas oleh penyiar rasmi Liga Malaysia iaitu Astro Arena.

Musim lalu, JDT telah dinobatkan sebagai juara Piala FA setelah menundukkan KL City dengan keputusan 2-0 hasil jaringan jarak jauh Hong Wan dan juga ledakan berbisa Leandro Velazquez.