Pertemuan Muangthong United vs Selangor dijangka bakal mencuri perhatian ramai dengan aksi empat pemain tumpuan kedua-dua pasukan.
Selangor hadir ke pentas Asia buat kali pertama sejak 2016 dan membawa momentum setelah mencatat kemenangan 4-0 ke atas Kuching City untuk bertemu wakil Thailand ini.
Sementara Muangthong juga berada di prestasi terbaik dengan merekodkan lima perlawanan tanpa tewas dalam saingan liga termasuklah menewaskan Sukhotai Ahad lalu.
Di sebalik pertembungan antara jaguh Malaysia dan Thailand ini, kelibat empat pemain bintang kedua-dua pasukan bakal menjadi tumpuan ramai.
Ronnie Fernandez
Tujuh gol dalam 9 perlawanan musim ini pastinya menjadikan penyerang kelahiran Chile sebagai senjata pemusnah buat skuad bimbingan Nidzam Jamil bagi merobek gawang lawan.
Poramet Arjvirai
Gino Lettieri pastinya mengharapkan ketajaman penyerang muda ini selepas muncul penjaring terbanyak Muangthong dengan 2 gol dan satu bantuan jaringan dalam 5 penampilan musim ini.
Safuwan Baharudin
Kapten Singapura ini menjadi watak penting The Red Giants musim ini dengan membentuk benteng ampuh bersama Harith Haiqal selain mampu menghadirkan ancaman ketika situasi bola mati.
Aly Cissokho
Bekas pertahanan Liverpool ini dibawa masuk oleh The Kirins pada awal musim ini dan menjadi tonggak utama di benteng belakang selain sudah mencipta satu bantuan jaringan bagi musim ini.
Pertemuan sengit antara Muangthong United dan Selangor bakal berlangsung di Stadium Nasional Rajamangal pada Khamis dengan sepak mula jam 6 petang waktu tempatan.
Selain Selangor dan Muangthong United, kumpulan H ini juga terdiri daripada jaguh Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai dan Cebu FC dari Filipina.