Percaturan ketua jurulatih Syria meraih perhatian para penyokongnya selepas memilih skuad ganjil berdepan Malaysia.
Pasukan ke-94 dunia itu bakal menjadi lawan pertama pasukan bimbingan Kim Pan-gon di Chengdu, China namun barisan pilihan pasukan Timur Tengah itu mencuri tumpuan.
Keputusan Héctor Cúper untuk membawa barisan ‘kuda tua’ berdepan Harimau Malaya telah membawa kritikan penyokong Syria.
Pengendali kelahiran Argentina itu membawa 12 orang pemain berusia 30 tahun ke atas daripada 25 orang yang dibawa ke China.
Hanya seorang sahaja pemain muda berusia 19 tahun yang dipanggil oleh Hector Cuper iaitu pemain pertahanan tengah, Mohammad Othman.
Moayad Ajan (30 tahun), Amro Jenyat (30 tahun), Mahmoud Al-Mawas (30 tahun), Shaher Al-Shakhir (30 tahun), Muayad Al-Khouli (30 tahun), Ibrahim Alma (31 tahun), Mardik Mardikian (31 tahun), Thaer Krouma (33 tahun), Ahmad Madanieh (33 tahun), Omar Al-Somah (34 tahun), Saad Al-Ahmad (34 tahun) dan Taha Mosa (36 tahun) merupakan 12 pemain senior yang masih ditagih oleh Cuper.
Hal ini menerima kritikan hebat daripada penyokong Syria berkenaan barisan pemain kali ini.
Terdapat beberapa nama yang dirasakan menyerlah tetapi pengendali ini tidak mahu merombak barisan sedia ada.
“Dari hari kelayakan Piala Dunia di Rusia, pemain tidak berubah. Perancis adalah juara dunia, kita harus berubah.”
“Agak janggal tanpa Fahd Youssef kerana beliau kini beraksi baik di Iraq,” jelas Alawi di ruangan komen.
Terdapat juga barisan pemain muda seperti Cascao, bintang warisan Sweden-Syria dan Bilal Halbouni yang tidak dipanggil ke China.
Malaysia berdepan Syria pada 6 September 2023 di Chengdu, China sebelum menentang tuan rumah, China pada 9 September 2023.