Bekas penyerang skuad kebangsaan Indonesia, Zaenal Arief yakin Timnas Indonesia mampu menewaskan Malaysia dalam pertembungan terakhir kumpulan B Piala AFF esok.

Zaenal Arief atau lebih dikenali sebagai Abo memiliki 23 cap antarabangsa bersama skuad senior Indonesia selain menjaringkan 12 gol bersama Timnas sepanjang kegemilangan kariernya.


“Ketika saya menyaksikan Timnas Indonesia lawan Vietnam saya optimis, kekuatan Malaysia waktu ini tidak sehebat seperti Vietnam,” kata Abo kepada wartawan.

“Saya melihat bola sepak Vietnam sekarang sudah maju, mereka setanding Thailand. Jika lawan Malaysia saya yakin mampu diatasi.” jelas Abo.


“Saya berharap Shin Tae-yong benar-benar menurunkan pemain yang bersedia, saya melihat tempoh hari lawan Vietnam seolah-olah perlawanan akhir, Indonesia bermain bertahan dan memang itu strateginya,” jelas Zaenal Arif.

Pemain kelahiran Garut ini juga berpendapat jaringan awal amat penting buat Timnas Indonesia.


“Mungkin harus dilakukan oleh Timnas Indonesia adalah menyerang pada awal permainan dan jaringan awal mampu meruntuhkan moral pemain Malaysia.”

Skuad kebangsaan Indonesia hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke separuh akhir dan Malaysia memerlukan kemenangan untuk layak ke separuh akhir bersama-sama Vietnam yang dijangka mudah menewaskan Kemboja pada Ahad ini.