Lion City Sailors meneruskan prestasi cemerlang di pentas Asia musim ini apabila berjaya menewaskan wakil Thailand, BG Pathum United, dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) pada Khamis. Lebih manis, kemenangan tersebut diraih di gelanggang lawan.
Lion City Sailors kendalian Mark Jackson menurunkan barisan terkuat dengan Ilhan Fandi mengetuai jentera serangan bersama Mathias Phaeton. Sementara itu, Bailey Wright diberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten dalam aksi penting ini.
Sementara itu, BG Pathum United yang beraksi di hadapan penyokong sendiri turut menurunkan barisan kompetitif dengan Sarach Yooyen mengetuai pasukan selaku kapten. Penyerang kelahiran Bosnia, Marin Jurina pula menjadi sandaran utama tuan rumah untuk menggalas tugas memburu jaringan di bahagian serangan.
Lion City Sailors tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila seawal minit kelima, Ilhan Fandi meletakkan pasukannya di hadapan menerusi satu penyudah menarik. Penyerang itu bijak menyambar hantaran kemas Diogo Costa dari sebelah kiri untuk menewaskan penjaga gol BG Pathum.
Tersentak dibolosi dengan jaringan awal, BG Pathum cuba mengatur gerak serangan yang lebih kemas dalam usaha mencari jaringan penyamaan.
Kukuhnya benteng pertahanan Lion City Sailors yang diterajui Bailey Wright dan Hugo Gomes turut menyukarkan BG Pathum United untuk mengatur gerakan berbahaya apabila setiap percubaan pasukan tuan rumah sering dipatahkan dengan baik.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, BG Pathum United melakukan dua pertukaran pemain bagi memperkemaskan permainan apabila memasukkan Chanapach Buaphan yang memiliki fizikal tinggi lampai serta pemain kebangsaan Thailand, Waris Choolthong bagi menambah kekuatan pasukan.
Kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan dalam usaha memburu jaringan, namun Lion City Sailors lebih klinikal apabila berjaya menggandakan kelebihan pada minit ke-72. Hugo Gomes muncul wira menerusi percubaan tepat hasil menyambar sepakan sudut yang diambil Giovanni Haag.
Serangan bertali arus Lion City Sailors tidak terhenti di situ apabila mereka terus menghukum BG Pathum United menjelang wisel penamat. Mathias Phaeton melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 menerusi jaringan ketiga selepas menyudahkan umpanan Farhan Zulkifli sekali gus memastikan tiga mata penuh dibawa pulang dari gelanggang lawan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Lion City Sailors terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen ACL2 musim ini sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan F. Sebaliknya, BG Pathum United terpaksa menelan kekalahan kedua daripada lima perlawanan dan kini menghuni tangga ketiga kumpulan tersebut.


