Malaysia berpeluang menghantar dua kelab untuk beraksi dalam AFC Champions League Elite (ACLE) 2028/29 selepas naik ke tangga kelima dalam ranking kelab AFC Zon Timur. Malaysia memintas China dan kini menjadi negara kedua terbaik ASEAN, di belakang Thailand.
Setiap tahun, ranking kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentukan berapa banyak slot ACLE yang diberikan kepada setiap negara.
Kedudukan itu dikira berdasarkan mata yang dikumpul oleh kelab-kelab sesebuah negara dalam pertandingan AFC. Semakin baik prestasi kelab di Asia, semakin banyak slot yang diterima, sama ada terus ke peringkat kumpulan atau melalui play-off.
Menurut unjuran ranking kelab AFC 2027 oleh Footy Rankings, Malaysia mengumpul 46.142 mata dan jumlah itu melonjakkan Malaysia satu anak tangga berbanding tangga keenam pada ranking 2026.
Kedudukan ini membolehkan Malaysia berada pada tangga kesembilan dalam ranking keseluruhan Asia. China pula jatuh dua anak tangga ke kedudukan keenam dengan 44.897 mata, iaitu 1.245 mata di belakang Malaysia.
Dengan kedudukan baharu ini, Malaysia layak menerima formula 1+1 bagi ACLE 2028/29, iaitu satu slot terus ke peringkat kumpulan dan satu slot play-off. Lebih menarik, Malaysia hanya ketinggalan 0.158 mata di belakang Australia yang berada di tangga keempat dengan 46.300 mata. Jika jurang kecil itu berjaya dirapatkan, Malaysia berpotensi menerima dua slot terus seperti yang dinikmati Australia ketika ini.
Bagi peringkat Asia Tenggara, Thailand masih kekal sebagai kuasa utama di tangga ketiga dengan 56.197 mata dan menerima tiga slot terus. Malaysia selaku negara kedua terbaik ASEAN mendahului Vietnam di tangga ketujuh yang menerima formula 0+1, manakala Singapura, Indonesia dan Kemboja berada di tangga kelapan hingga ke-10 tanpa sebarang slot ACLE.
Pecahan mata menunjukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi penyumbang terbesar dengan 34.11 mata, iaitu 73.9 peratus daripada jumlah keseluruhan negara. Juara Liga Super itu ternyata menjadi tulang belakang yang membawa Malaysia ke kedudukan sekarang hasil kemunculan yang konsisten di pentas Asia.
Selangor berada di tempat kedua dengan sumbangan 4.67 mata (10.1 peratus), diikuti Kuching City dengan 2.33 mata (5.1 peratus) dan Kuala Lumpur City dengan 1.85 mata (4 peratus).
Sabah turut menyumbang 1.24 mata, Terengganu 1.01 mata, Kedah 0.75 mata dan Perak 0.18 mata. Secara keseluruhan, kelab selain JDT mengumpul 12.03 mata, iaitu kira-kira satu perempat daripada jumlah negara.
Musim ini, tugas menambah mata negara digalas oleh JDT dalam ACLE 2026/27 dan Kuching City dalam AFC Champions League Two (ACL2). Skuad Harimau Selatan, yang musim lalu mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama mara ke suku akhir ACLE, kini berada di tangga ketujuh Zon Timur dengan tujuh mata selepas empat perlawanan. Hanya lapan pasukan teratas akan mara ke pusingan 16 terbaik.
Kuching City pula sedang melakar sejarah dalam penampilan sulung di pentas Asia selepas layak sebagai naib juara Liga Super. Selepas bermula dengan tewas kepada Phnom Penh Crown, seri dengan Kitchee dan tewas kepada Gangwon, The Cats bangkit menewaskan kelab Korea Selatan itu 2-0 di laman sendiri. Kini mereka mengumpul empat mata dalam Kumpulan H.
Dua lagi aksi kumpulan bakal menentukan nasib wakil Sarawak itu, iaitu menentang Phnom Penh Crown malam ini sebelum bertandang ke laman Kitchee pada 3 Disember. Setiap kemenangan JDT dan Kuching City bukan sahaja penting untuk kempen masing-masing, malah akan menambah mata negara dalam usaha memintas Australia.


