ACLE: 10 Gol Hiasi Kemenangan Shanghai Port Ke Atas Ratchaburi
MakanBola
Ratchaburi FC

Kelab Thailand, Ratchaburi tewas besar di tangan Shanghai Port dalam aksi pertama peringkat liga AFC Champions League Elite (ACLE).

Perlawanan pembuka tirai ACLE 2026-2027 menyaksikan salah satu kelab ASEAN, Ratchaburi tewas 4-6 di tangan Shanghai Port di halaman sendiri meskipun kebangkitan cuba dilakar anak-anak didik Worrawoot Srimaka di penghujung aksi.

Penyerang import Shanghai Port, Prince Ampem tampil garang di separuh masa pertama apabila mencetak hatrik dalam masa 14 minit (minit 31, 36 dan 45) untuk meletakkan pelawat di hadapan 3-0 sebelum memasuki bilik persalinan.

Babak kedua bersambung dengan penyerang kebangsaan China, Wu Lei menambah derita Ratchaburi apabila menyumbat gol keempat Shanghai Port pada minit ke-51 hasil hantaran kemas daripada rakan sepasukan, Yue Xin.

Tuan rumah cuba bangkit selepas itu apabila berhasil menjaringkan dua gol menerusi penyudah Njiva Rakotoharimalala pada minit ke-71 dan 84 untuk merapatkan jurang keputusan semasa kepada 4-2 dengan permainan berbaki 6 minit.

Jaume Grau sempat melebarkan kedudukan buat Shanghai Port dengan gol ke-5 pada minit ke-86 sebelum Njiva Rakotoharimalala serta Ekanit Panya menjadikan skor 5-4 buat tuan rumah hasil dua jaringan pantas pada masa tambahan.

Pemain gantian, Leonardo menutup perlawanan dengan gol ke-6 Shanghai Port beberapa saat kemudian, sekali gus menutup kebangkitan hebat yang cuba dilakar oleh Ratchaburi dan berjaya membawa balik 3 mata dari bumi Thailand.

Keputusan akhir, Ratchaburi 4-6 Shanghai Port.