Advertisements
ACLE: 5 Watak Tumpuan Pertembungan JDT vs Ulsan HD Di SSI
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) vs Ulsan HD dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) menyaksikan 5 pemain bakal menjadi tumpuan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

JDT kembali ke Stadium Sultan Ibrahim setelah terpaksa akur tumbang kepada Gwangju sekaligus mengakhiri rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan dalam tiga aksi awal ACLE.

Sementara Ulsan HD yang dibimbing oleh Kim Pan-gon pula masih mencari kemenangan dalam saingan ACLE musim ini meskipun hadir dengan momentum selaku juara K-League.

Di sebalik pertemuan epik kedua-dua pasukan ini di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa, 5 pemain dijangka bakal menjadi tumpuan bagi para peminat JDT dan Ulsan HD.

1- Arif Aiman

Kelibat pemain sayap muda ini pastinya menjadi perhatian oleh lawan memandangkan jurulatih Ulsan HD, Kim Pan-gon pernah membimbing dan melatih Arif Aiman ketika di skuad kebangsaan.

Kelebihan menggelecek dan penyudah tajam yang dimiliki pastinya menjadi aset berharga buat JDT dengan Arif Aiman kini sudah mengumpul tiga gol dalam tiga perlawanan ACLE sebelum ini.

2- Eddy Israfilov

Dalam tiga aksi awal ACLE sebelum ini, Eddy diturunkan bagi kesemua perlawanan dan diberi peranan penting membentuk gandingan ampuh di barisan pertahanan bersama Park Jun-heong.

Ketinggian 1.91 meter yang dimiliki oleh Eddy boleh menjadi kelebihan buat JDT bagi memenangi perebutan bola di udara sekaligus memberi tugas sukar buat barisan hadapan Ulsan HD.

3- Juan Muniz

Perancang tengah kelahiran Sepanyol ini sudah pasti menjadi antara nama yang perlu dikawal oleh Ulsan HD dengan Muniz dijangka sekali lagi menggalas peranan penting merencana serangan JDT.

Kepakaran Juan Muniz ketika situasi bola mati bakal menjadi taruhan besar JDT dan dibuktikan dengan satu jaringan yang dicipta menerusi sepakan percuma ketika bertemu Shanghai Shenhua tempoh hari.

4- Joo Min-kyu

Nama Min-kyu kini menjadi sebutan para peminat Ulsan HD dengan penyerang berusia 34 tahun itu merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan 10 gol dalam saingan K-League musim ini.

Jaringan Min-kyu ketika menewaskan Gangwon minggu lalu berhasil memastikan gelaran juara ketiga berturut-turut buat Ulsan HD dan dijangka menjadi sandaran Kim Pan-gon bagi merobek gawang JDT.

5- Ataru Esaka

Posisi tengah Ulsan HD mempunyai pelbagai pemain dengan Ataru Esaka menjadi salah seorang yang sering kali menjadi pilihan apabila sudah beraksi dalam tiga aksi awal sebelum ini.

Selain itu, bisa Esaka turut ditagih untuk mencipta satu lagi jaringan di SSI setelah menjaringkan gol ketika tewas 2-1 di tangan JDT pada perlawanan ACL musim lalu di venue yang sama.

Aksi JDT-Ulsan HD bakal berlangsung pada 5 November dengan sepak mula dijadualkan tepat jam lapan malam di Stadium Sultan Ibrahim.