Ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski menjawab dakwaan berhubung nama pemain warisan baharu Malaysia.
Harimau Malaya dikaitkan dengan beberapa nama tonggak warisan yang dijangka bakal membantu pasukan berdepan Vietnam.
Kem latihan pusat pasukan kebangsaan kini memasuki Fasa 3 dengan beberapa pemain baharu dipanggil sambil ketua jurulatih, Peter Cklamovski optimis membentuk persiapan pasukan.
Jurulatih kelahiran Australia itu memberi bayangan bahawa terdapat ramai pemain berdarah Malaysia yang kini beraksi di luar negara.
“Kita sedang meneliti pemain warisan yang beraksi di luar negara kerana mereka juga adalah pemain Malaysia.
“Terdapat senarai panjang pemain warisan di luar negara yang merupakan pemain Malaysia. Namun begitu, mereka perlu melalui proses-proses tertentu untuk membolehkannya bersama Harimau Malaya,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun tidak mahu memberikan jawapan akhir berhubung nama-nama pemain warisan yang tular ketika ini.
“Kamu yang menyebut nama-nama pemain itu. Ketika ini, terlalu banyak nama yang dimainkan oleh media yang saya juga tidak pernah mendengarinya.
“Terlalu banyak nama, saya menghormatinya tetapi persediaan kita adalah menuju aksi berdepan salah satu lawan yang sukar iaitu Vietnam,” katanya kepada Harimau Malaya ketika ditemui hari ini.
Harimau Malaya bakal bertemu Vietnam pada 10 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 9.00 malam.