Advertisements
Adam Nor Azlin Jadi Wira JDT Benam Skuad Muda Selangor
MFL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas pemain kebangsaan, Adam Nor Azlin menjadi wira Johor Darul Ta’zim II (JDT II) selepas jaringan tunggalnya sudah cukup untuk mengecewakan Selangor FC dengan keputusan 1-0 dalam aksi Piala MFL di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang sebentar tadi.

JDT selaku tuan rumah memulakan perlawanan dengan agak garang apabila Alif Mutalib hampir menjaringkan gol ketika perlawanan baru berusia 20 saat namun rembatan kaki kiri pemain itu ditepis penjaga gol Selangor, Syahmi Adib.

Barisan pemain Selangor dilihat masih bergelut untuk mendapatkan momentum perlawanan. Pemain sayap lincah, Ramadhan Saifullah mempunyai peluang keemasan pada minit ke-24 namun rembatannya dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol.

Peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-43 melalui Izrin namun percubaan kaki kirinya sedikit tersasar.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Ketika babak kedua baru sahaja dimulakan, JDT akhirnya mendapat jaringan yang diinginkan apabila Adam Nor Azlin yang juga kapten pasukan menyudahkan sepakan sudut dari rakan sepasukan dengan penyudah secara akrobatik. JDT mendahuli 1-0.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor cuba mengatur serangan melalui kelicikan Haykal Danish dan Harry Danish namun benteng JDT kebal dalam mempertahankan gawang daripada dibolosi.

Adam Haikal berpeluang menyamakan kedudukan pada waktu kecederaan namun rembatan derasnya ditepis dengan cemerlang oleh Zulhilmi Sharani.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini membawa JDT naik ke tangga kedua Piala MFL ketinggalan satu mata kepada pendahulu, Terengganu FC II. Manakala skuad muda Selangor terus kempunan untuk mendapatkan kemenangan dan kini berada di tangga ketujuh.