Jepun tepati ramalan apabila cemerlang menewaskan pasukan dari Asia Tenggara, Indonesia di pentas Piala Asia 2023.
Babak pertama perlawanan tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada Jepun. Jepun berjaya menjaringkan gol seawal minit keenam permainan menerusi sepakan penalti.
Kekasaran kapten Indonesia, Jordi Amat mengundang padah apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat Jepun. Ayase Ueda mudah menyumbat masuk bola menewaskan penjaga gol Indonesia, Ernando Ari.
Bersambung aksi separuh masa kedua permainan, anak buah kendalian Shin Tae-yong tidak berputus asa untuk memburu jaringan penyamaan.
Hasrat Indonesia untuk bangkit bagaimanapun tersekat selepas penjaring sensasi Jepun, Ayase Ueda sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring. Ayase tenang menyumbat masuk bola selepas menerima hantaran daripada pemain sayap, Ritsu Doan.
Pada minit ke-88 permainan, pertahanan tengah Indonesia, Justin Hubner tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang percubaan lawan. Jaringan itu sekaligus memberikan gol ketiga buat Jepun.
Indonesia bagaimanapun berjaya menjaringkan gol saguhati pada waktu kecederaan menerusi pemain pertahanan, Sandy Walsh. Beliau berjaya memanfaatkan lontaran jarak jauh daripada Pratama Arhan.
Keputusan tamat, Jepun 3-1 Indonesia.
Dalam saingan Kumpulan D ketika ini, Jepun berjaya mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan, berada di tangga kedua dibelakang Iraq yang mengungguli carta Kumpulan D.
Indonesia pula di kedudukan ketiga dengan tiga mata dan mempunyai peluang untuk mara ke pusingan 16 terbaik menerusi slot tempat ketiga terbaik. Iraq dan Jepun mengesahkan slot ke pusingan kalah mati dengan status sebagai juara dan naib juara kumpulan.