Wakil Australia, Central Coast Mariners mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC dengan menewaskan Stallion Laguna.
CCM tahu satu lagi kemenangan sudah cukup mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan seterusnya.
Sementara Stallion pula melihat perlawanan hari ini sebagai medan mempertahankan maruah mereka di tempat sendiri.
Babak pertama menyaksikan The Mariners kerap melancarkan asakan ke arah kubu pertahanan The Stallions.
Ini memaksa barisan pertahanan tuan rumah diketuai kapten, Matthew Nierras terpaksa bekerja keras menyerap asakan pelawat.
CCM memastikan mereka mendahului 1-0 semasa rehat menerusi penjaring terbanyak mereka, Marco Tulio pada minit ke-23.
Bersambung pada babak kedua, The Mariners terus memperhebatkan serangan ke atas kubu pertahanan tuan rumah.
Anak-anak buah Mark Jackson meraih gol kedua menerusi pemain gantian, Christian Theoharous pada minit ke-63.
Tulio memastikan dominasi juara A-League musim 2022-2023 itu dengan gol ke-10 beliau musim ini. Kemenangan 3-0 ini bukan saja menjamin kelayakan CCM sebagai juara Kumpulan G.
Malah, ini mematikan terus harapan Terengganu FC untuk memintas CCM dan menjadi juara kumpulan.
Impak Tulio sebagai peledak utama The Mariners diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Penyerang Brazil itu mendapat markah 8.8 mata.