Wakil Singapura, Hougang United memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri apabila mengaibkan wakil Vietnam, Hai Phong dalam aksi kedua Kumpulan H hari ini.
Hougang berharap dapat bangkit selepas tunduk 3-1 kepada Sabah FC dalam aksi pertama kumpulan.
Manakala Hai Phong pula berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan juara Liga 1 Indonesia musim lepas, PSM Makassar.
Babak pertama menyaksikan The Flamboyant mendominasi perlawanan. Bagaimanapun, pertahanan tuan rumah diketuai Naoki Kuriyama memastikan keputusan kekal 0-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol. Hai Phong terlebih dahulu di hadapan menerusi penyerang Brazil, Yuri Mamute pada minit ke-56.
Ini selepas kelab Vietnam itu dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil beberapa minit sebelumnya.
Tersentak, The Cheetahs bangkit menghambat pasukan pelawat. Hasilnya, Dorde Maksimovic menceriakan penyokong di Stadium Jalan Besar dengan gol penyamaan pada minit ke-82.
Tatkala kedua-dua pasukan seakan berpuas hati dengan satu mata, Maksimovic meranapkan impian pelawat dengan gol kemenangan pada minit ke-93.
Ini memastikan The Cheetahs menduduki tangga kedua kumpulan di belakang Sabah yang turut mencipta kemenangan besar ke atas Juku Eja hari ini.