Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah didenda sebanyak RM103,000 oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Menurut perkongsian oleh laman ASEAN Football, JDT telah didenda berjumlah USD24,000 iaitu sekitar RM103,089 gara-gara tindakan penyokong ketika aksi AFC Champions League Elite menentang Buriram United lalu.
”AFC telah mengenakan denda sebanyak USD24,000 ke atas JDT susulan tingkah laku tidak wajar oleh penyokong semasa aksi kedua pusingan 16 AFC Champions League Elite 2024-25 menentang Buriram United pada 11 Mac lalu,” lapor laman ASEAN Football.
Sebelum ini, pertemuan membabitkan JDT vs Buriram United dalam saingan ACLE telah dicemari dengan insiden penonton yang membaling botol ke dalam padang akibat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
Insiden tersebut berlaku di penghujung permainan apabila pengadil yang bertugas membatalkan jaringan lewat oleh penyerang JDT, Jorge Obregon dan menimbulkan amarah dalam kalangan peminat.
Oleh itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul telah menyerahkan kuasa kepada Jawatankuasa Disiplin untuk meneliti laporan yang dibuat dan akhirnya hukuman telah pun dikenakan.