AFC ‘Gantung’ Bintang Vietnam, Sah Terlepas Aksi vs Malaysia
MakanBola
AFC

Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengambil keputusan untuk menggantung bintang muda Vietnam, Nguyen Dinh Bac.

Hukuman tersebut diputuskan dan diumumkan menerusi satu kenyataan oleh Jawatankuasa Etika dan Disiplin AFC pada 25 Februaru lalu selepas tamatnya sidang mesyuarat.

Jawatankuasa berkenaan menjatuhkan hukuman terhadap Nguyen Dinh Bac setelah mendapati kapten Vietnam B-23 itu telah melanggar Artikel 47 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

Nguyen Dinh Bac telah dilayangkan kad merah oleh pengadil setelah didapati menendang kaki salah seorang pemain Korea Selatan ketika aksi penentuan tempat ketiga Piala Asia B-23 lalu.

Tindakan kasar pemain muda CAHN itu menjadi bukti kukuh buat AFC untuk menjatuhkan hukuman penggantungan dua perlawanan selain diminta untuk membayar denda sebanyak USD1,000 (RM3,886).

Penggantungan yang dikenakan bakal menyaksikan Nguyen Dinh Bac tidak berpeluang untuk dipanggil menjelang aksi getir bertemu Malaysia dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027.

Ketiadaan Dinh Bac pastinya memberi tamparan hebat buat Kim Sang-sik selepas tonggak berusia 21 tahun itu menjadi tonggak utama Vietnam ketika meraih pingat emas di Sukan SEA 2025.

Malah, Nguyen Dinh Bac turut memenangi kasut emas di kejohanan Piala Asia B-23 lalu ketika membantu Vietnam memenangi tempat ke-3 setelah menumbangkan Korea Selatan.