AFC MA Ranking: Malaysia Kekal Tangga Ke-6
MakanBola
Johor Southern Tigers

Malaysia terus mengekalkan kedudukan keenam untuk sektor Timur dalam Ranking Pertandingan Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim 2025/26.

Ini selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menyumbang 21.500 mata untuk mata negara sebanyak 12.083 mata. Baki 2.667 mata disumbang pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC.

Maklumat ini dikongsikan JDT menerusi satu pengumuman di semua platform Johor Southern Tigers.

JDT berjaya meraih mata sebanyak itu selepas berjaya mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim ini.

Pencapaian ini menyaksikan Malaysia bukan saja kekal di tangga keenam sektor Timur. Malah, Malaysia kekal berada di tangga ke-11 di Asia dengan markah 45.184.

Koleksi mata yang dimiliki sudah cukup untuk memastikan Malaysia memiliki satu slot kelayakan ke ACLE dan satu slot ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2027/28.

Meskipun Malaysia berada di tangga keenam, jurang yang dimiliki dengan dua negara terdekat, Singapura dan Vietnam cukup jauh.

Ini kerana kedua-dua negara masing-masing merekodkan 38.894 dan 38.020 mata. Meskipun begitu, Vietnam mampu merapatkan kedudukan jika syor agihan slot tambahan ACLE musim depan menjadi kenyataan.

Ini kerana Vietnam dan Jordan berpotensi menerima slot playoff ACLE menggantikan slot playoff Liga Cabaran AFC (ACLT).

Ini dijangka membantu kelab Vietnam mengumpul mata lebih banyak untuk memperbaiki ranking MA AFC negara itu jika berjaya mara ke ACLE.

Musim 2026/27 menyaksikan JDT bakal membawa cabaran Malaysia dalam saingan ACLE selaku juara Liga Super.

Slot ACL2 selaku naib juara Liga Super masih terbuka dan menjadi rebutan tiga pasukan termasuk Selangor.