Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menganggap Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai lawan yang sukar meskipun beraksi dengan 10 pemain.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat anak buahnya tewas 2-1 kepada Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
JDT beraksi dengan 10 pemain apabila kapten, Natxo Insa dilayangkan kad merah oleh pengadil, Razlan Joffri Ali.
Ini selepas VAR mengesan tindakan beliau menanduk muka pemain pertahanan The Cats, Scott Woods pada separuh masa kedua.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, JDT meraih kemenangan 2-1 menerusi gol Nacho Mendez dan Bergson da Silva.
Aidil menyifatkan bukan mudah menentang tuan rumah walaupun memiliki kelebihan 11 pemain. Pada masa sama, beliau tetap menghargai usaha keras anak buahnya memberi cabaran kepada JDT.
“Saya bangga dengan para pemain, mereka berikan yang terbaik. Tidak kira kita lawan 10 atau 11 pemain, JDT tetap JDT. Mereka cukup kuat di laman sendiri dan kita hampir mencipta sejarah.
“Ini sesuatu yang kita kena belajar. Tapi secara keseluruhan, saya tak boleh salahkan para pemain kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh,” katanya selepas perlawanan.
Aidil turut menyifatkan perbezaan antara pasukannya dan JDT semakin mengecil. Beliau melihat ini tanda positif buat Kuching City untuk terus melangkah ke hadapan selepas ini.
“Tapi untuk keputusan ini, saya bertanggungjawab dan saya masih gembira dengan cara para pemain setiap kali menentang JDT.
“Walaupun kita kalah, kita kalah dengan margin yang kecil dan itu satu petanda positif yang kita boleh ambil dari situ,” ujarnya.
Kuching City kini mengalihkan tumpuan kepada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia menentang Penang FC pada 18 Januari.