Ramalan sebuah akaun misteri X bahawa Argentina akan menewaskan Sepanyol di pentas final Piala Dunia 2026 pada 2021 mencuri perhatian ramai.
Ramalan pemilik akaun bernama Actuallyimthe itu dibuat pada 2021. Pemilik akaun mendakwa kedua-dua pasukan akan mara ke final sebelum Argentina meraih kemenangan 3-2.
Menariknya, kedua-dua pasukan berjaya mara ke final selepas menewaskan lawan masing-masing. Sepanyol mengecewakan bekas juara edisi 2018, Perancis dengan kemenangan 2-0.
Argentina pula bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan juara edisi 1966, England dengan keputusan 2-1. La Albiceleste dilihat pasukan pilihan untuk mempertahankan trofi Piala Dunia selaku juara bertahan.
Selepas kedua-dua pasukan berjaya mara ke final, Actuallyimthe kemudiannya meletakkan ciapan baru dengan meninggalkan simbol mata dan jam pasir. Ini untuk melihat sama ada ramalannya menjadi kenyataan atau sebaliknya.
Yang pasti, perlawanan final itu juga dilihat medan balas dendam buat Argentina. Ini kerana La Albiceleste pernah dimalukan Sepanyol 6-1 dalam aksi persahabatan pada Mac 2018.
Aksi ini juga menemukan dua bintang era berbeza, Lionel Messi dan Lamine Yamal. Pertembungan dua bintang ini dijangka menghangatkan lagi pertembungan Argentina dan Sepanyol di pentas final.