Disebalik keputusan seri 1-1 antara JDT dan PDRM dalam aksi Piala MFL semalam, perlawanan tersebut telah dicemari dengan beberapa insiden yang tidak diingini.
Dua insiden ganas telah berlaku dimana pemain PDRM melakukan tindak balas melampau terhadap pemain JDT yang hampir menimbulkan pergaduhan besar.
Insiden pertama berlaku pada minit ke-11 perlawanan apabila penjaga gol PDRM, Nor Hakeem telah bertindak secara melulu dengan mengunci kepala Najmudin Akmal.
Ini ekoran cubaan Najmudin Akmal untuk merembat bola gagal malah sebaliknya hampir mengenai penjaga gol tersebut.
Perbuatan berbahaya tersebut telah menyebabkan Nor Hakeem dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.
Satu lagi insiden ganas berlaku sewaktu perlawanan hampir tamat iaitu pada minit ke-93 permainan.
Fakhrullah Yusoff dilihat gagal mengawal emosinya terhadap Aysar Hadi setelah berlaku pertembungan antara dua pemain itu didalam kawasan kotak penalti JDT.
Bagai dirasuk roh Zinedine Zidane, Fakhrullah telah menanduk Aysar Hadi dan berlaku kekecohan antara pemain JDT dan PDRM sebelum berjaya dileraikan oleh pengadil.
Fakhrullah Yusoff bagaimanapun bernasib baik kerana terlepas daripada dikenakan sebarang layangan kad oleh pengadil perlawanan.
JDT kini berada ditangga kedua saingan Piala MFL dengan 11 mata manakala PDRM pula ditangga kelima dengan 9 mata setelah perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Pautan penuh: Insiden ganas pemain PDRM terhadap JDT (minit ke-11 & minit ke-93)