Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia (WDFC) bakal bermula malam ini dengan aksi Malaysia dan Amerika Syarikat dalam Kumpulan A menjadi tumpuan.
Malaysia yang menjadi negara Asia pertama sebagai tuan rumah WDFC berharap dapat tampil cemerlang di hadapan penyokong sendiri.
Begitupun, jurulatih skuad negara, Muhamad Haris Lajid sedar dengan cabaran yang bakal dibawa Amerika Syarikat. Ini kerana mereka memiliki kelebihan fizikal jika dibandingkan dengan pemain-pemain negara.
“Mereka tiba awal ke negara kita, apa yang saya perhatikan para pemain AS memiliki ketinggian dan berbadan tegap, tetapi, ia memang saya sudah jangkakan.
“Memang jauh berbeza dari segi saiz fizikal dengan para pemain saya, justeru, saya amat berharap kita dapat mempamerkan kemahiran individu bagi menyaingi kelebihan yang dimiliki lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain Amerika Syarikat dan Malaysia, Jerman dan Mesir juga berada dalam Kumpulan A. Selepas menentang Amerika Syarikat, Malaysia akan turun menentang Jerman pada 25 September dan Mesir (27 September).
Kedua-dua perlawanan ini akan diadakan di Stadium Arena Universiti Malaya dan berlangsung pada jam 4.30 petang.