Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dihukum pengadil selepas membuat aksi nakal ketika meraikan jaringan rakan sepasukan.
Bergson dilihat meraikan jaringan Shahrul Saad di hadapan pemain lawan di penghujung perlawanan dalam aksi persahabatan antarabangsa di antara JDT dan jaguh Singapura, Lion City Sailors (LCS).
Susulan daripada keraian gol itu, Bergson dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan. Turut dilayangkan kad kuning ialah seorang lagi pemain JDT iaitu Eddy Israfilov.
Telatah nakal Bergson dan Israfilov itu telah tular di laman Tiktok. Sehingga kini, video tersebut telah merekodkan hampir 200 ribu tontonan.
Pada aksi persahabatan JDT dan LCS itu, Shahrul Saad menjadi wira JDT apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-88 mencukupi untuk memberikan kemenangan mutlak 1-0 buat JDT.
JDT menurunkan kesebelasan terbaik dalam perlawanan ini termasuk dua pemain berpengalaman iaitu Natxo Insa dan Jese Rodriguez.
Manakala Lion City Sailors juga tidak kurang hebatnya apabila menurunkan beberapa pemain berprofail tinggi seperti Rui Pires (Portugal) dan Bart Ramselaar (Belanda).