Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan aksi Piala Sumbangsih membabitkan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada Jumaat ini dibatalkan.
Pengumuman ini dibuat susulan keputusan Selangor menarik diri daripada menyertai aksi Piala Sumbangsih musim 2024/25 semalam atas alasan keselamatan.
Sebelum ini, pengurusan Merah Kuning telah membuat permohonan kepada MFL untuk menangguhkan perlawanan tersebut atas sebab keselamatan.
Pengurusan Selangor berbuat demikian selepas mengambil kira tiga insiden kes jenayah membabitkan pemain bola sepak negara sejak minggu lepas termasuk bintang utama mereka, Faisal Halim.
Faisal menjadi mangsa kes simbahan asid sulfurik dalam satu insiden di pusat beli-belah di Lembah Klang. Beliau kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
Selain Faisal, Akhyar Rashid dan Safiq Rahim turut menjadi mangsa insiden jenayah yang berlaku dalam tempoh tersebut.
Walau bagaimanapun, permohonan Selangor ditolak MFL selepas menerima jaminan keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
MFL kemudiannya memaklumkan jadual perlawanan termasuk Piala Sumbangsih akan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Situasi ini mendorong Selangor menarik diri daripada perlawanan berkenaan. Keputusan pengurusan Merah Kuning turut disokong oleh Duli Yang Amat Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Lantaran itu, MFL mengumumkan JDT meraih kemenangan percuma 3-0 untuk aksi pertama Liga Super.
MFL turut memaklumkan perkara ini akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membincangkan tindakan selanjutnya.