Aksi Tri Nation Tournament 2024 membabitkan Thailand dan Russia berisiko dibatalkan akibat faktor cuaca.
Ini selepas VNExpress melaporkan beberapa wilayah di negara itu termasuk Hanoi bakal dibadai Ribut Tropika Yagi pada 7 September ini. Perkara ini turut dibangkitkan wartawan sukan Thailand, Ta Lao.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan Vietnam telah mengarahkan empat lapangan terbang di utara negara itu ditutup. Ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa No Bai di Hanoi.
Kerajaan negara itu turut mengaktifkan pelan kecemasan sebagai persediaan membantu wilayah-wilayah yang terkesan.
Meskipun mengakui faktor cuaca berpotensi menyebabkan perlawanan dibatalkan, jurulatih Russia, Valery Karpin tetap bersemangat untuk bersemuka dengan Thailand.
“Saya dengar tentang maklumat (Ribut Tropika Yagi). Walau bagaimanapun, kita tetap akan pertimbang untuk bermain dan tidak terlalu bimbang tentang ribut berkenaan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan seperti yang dilaporkan TheThao247.
Sbornaya makin bersemangat selepas meraih kemenangan ke atas Vietnam di Stadium Nasional MyDinh pada 5 September lalu.
Selain perlawanan Russia-Thailand, aksi persahabatan antara Thailand dan Vietnam juga berdepan berpotensi dibatalkan. Ini kerana aksi berkenaan bakal berlangsung di Hanoi pada 10 September ini.