Pemain berpengalaman Oman, Ali Al-Busaidi bertekad mahu Oman menewaskan Malaysia dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
Pemain berusia 33 tahun itu yakin pasukannya telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran Malaysia buat kali kedua.
Aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil kelak amat penting buat kedua-dua pasukan dalam mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026.
Ali Al-Busaidi merupakan pemain versatil yang mampu bermain dibahagian pertahanan, tengah dan juga serangan pasukan dan dalam aksi menentang Malaysia tempoh hari beliau telah mengisi jentera tengah Oman.
“Sudah tentu kami di sini mencari kemenangan untuk naik ke tangga teratas kumpulan. InsyaAllah kami akan menang dalam apa jua keadaan, kami akan laksanakan taktik yang jurulatih terapkan.”
“Kami menghormati keupayaan Malaysia. Mereka memiliki skuad yang kuat tetapi begitu juga dengan kami yang memiliki skuad yang kuat dan mampu bekerjasama. Kami juga tahu semua perkara berkenaan pasukan Malaysia dan InsyaAllah kita akan lakukan yang terbaik.”
“Sebagai pemain, kita tahu ini satu perlawanan yang penting. Kita sudah bersedia dengan cabaran cuaca, penyokong lawan dan sebagainya. InsyaAllah, kita akan memenangi perlawanan tersebut.” ujar Ali Al-Busaidi.
Sebelum ini Oman berjaya meraih 3 mata berharga setelah menewaskan Malaysia dengan jaringan 2-0 dilaman sendiri.
Perlawanan berikutnya pada 26 Mac merupakan perlawanan keempat peringkat kumpulan D dan seterusnya Malaysia berbaki dua aksi menentang Kyrgyzstan dan juga Taiwan.