Semasa menguruskan Liverpool selama beberapa musim, Brendan Rodgers membawa masuk ramai pemain – sesetengahnya berjaya seperti Daniel Sturridge dan Philippe Coutinho. Ada juga yang gagal seperti Mario Balotelli dan Christian Benteke. Tetapi bagi Allan Rodrigues de Souza atau Allan, pemain ini dijangka memberi keuntungan kepada Reds sekiranya khidmatnya disambar oleh mana-mana kelab Eropah.
Allan mula menarik perhatian peninjau bakat dalam Kejohanan Antarabangsa Frenz. Melihat pemain ini ada bakat untuk beraksi di Anfield, Liverpool membeli khidmatnya dari kelab Internacional pada musim panas 2015 dengan yuran perpindahan £500,000 (RM2.88 juta). Malangnya, isu permit kerja menyebabkan pemain ini tidak dapat beraksi di England. Ini memaksa Reds meminjamkannya ke beberapa kelab seperti SJK, Hertha Berlin dan Eintracht Frankfurt.
Situasi Allan sememangnya memeningkan kepala hierarki pengurusan Anfield termasuk pengganti Rodgers, Jurgen Klopp. Selepas melihatnya berlatih di Melwood, bekas pengurus Borussia Dortmund itu menganggap pemain ini sangat berbakat, mempunyai keperibadian yang baik dan disukai ramai. Klopp berharap pada ketika itu, Allan dapat dikekalkan selepas isu permit kerjanya selesai. Ini sekaligus memperkukuh jentera tengah Reds pada masa hadapan tanpa memerlukan mereka untuk berbelanja.
Tetapi situasi permit kerja Allan masih tidak berubah. Reds tiada pilihan melainkan menjualnya kepada Atletico Mineiro dengan yuran perpindahan £3.2 juta (RM18.28 juta) pada musim panas 2020. Tetapi bagi memastikan mereka mendapat sedikit keuntungan di kemudian hari, kelab menyelitkan klausa penjualan sekiranya Allan diintai oleh kelab-kelab luar.
Allan dan bekas penyerang Chelsea Diego Costa baru saja membantu kelab menjulang kejuaraan Serie A Brazil baru-baru ini. Dengan kepintarannya menerajui bahagian tengah, kelab-kelab Eropah yang mahu memperkukuhkan jentera tengah mereka pasti mahukan khidmatnya. Dengan yuran perpindahan tertinggi pernah diterima Mineiro ialah €25 juta (RM119 juta) pada 2013 untuk Bernard, usah terkejut nilai Allan mungkin boleh memecah rekod berkenaan.