Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggalas peranan sebagai Pengerusi Negeri Sembilan FC.
Pelantikan beliau diumumkan Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), YTM Tunku Syed Razman Ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
“YAB Dato’ Seri Aminuddin membawa bersama pengalaman kepimpinan yang luas serta visi yang progresif untuk bola sepak Negeri Sembilan.
“Peranan beliau sebagai Pengerusi NSFC diyakini akan memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Negeri, PBNS dan pihak berkepentingan dalam usaha menjadikan NSFC sebagai kelab berprestasi tinggi, mampan dan dihormati,” kata baginda dalam satu kenyataan.
Pelantikan ini dilihat sebahagian daripada komitmen PBNS untuk membuat pengasingan yang jelas antara badan induk itu dan kelab berkenaan.
Pengumuman ini membolehkan PBNS kini dapat memberi tumpuan penuh dalam memperkasakan pembangunan akar umbi dan struktur bola sepak negeri.
Sang Rusa pula akan terus digerakkan sebagai kelab bola sepak profesional yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan serantau.
Aminuddin menyifatkan pelantikan ini sebagai satu amanah untuk membawa Negeri Sembilan menjadi satu pasukan kompetitif dalam arena bola sepak Malaysia.
“Saya berbesar hati menerima pelantikan sebagai Pengerusi Negeri Sembilan Football Club (NSFC), sebuah institusi bola sepak yang bukan sahaja membentuk legasi dalam arena sukan tanah air, tetapi juga menjadi kebanggaan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
“Bola sepak bukan sekadar sukan, ianya adalah wahana perpaduan, identiti negeri, dan platform pembangunan belia yang mampu menyatukan seluruh lapisan masyarakat.
“Justeru itu, saya mengajak seluruh penyokong, penaja, dan rakan strategik untuk bersama-sama membina semula kekuatan NSFC. Dengan semangat setiakawan dan iltizam yang tinggi, saya yakin Negeri Sembilan mampu kembali sebagai pasukan yang kompetetif di peringkat kebangsaan.”
Negeri Sembilan kini sibuk membuat persiapan bagi menghadapi musim baru liga yang bermula pada Ogos ini.