Penyerang veteran PT Athletic FC, Amri Yahyah melihat aspek teknikal terutama kawalan bola perlu diutamakan buat pemain muda sekiranya ingin membina karier dalam dunia bola sepak.
Pandangan itu diutarakan beliau apabila menjadi tetamu untuk segmen program Nadi Arena bersama jurulatih, Nazrulerwan Makmor baru-baru ini.
Bekas penyerang Sabah FC itu melihat aspek berkenaan amat penting terutama bila beraksi di atas padang.
Ini kerana apabila seseorang pemain itu memiliki teknik kawalan bola yang baik, ini bukan saja meningkatkan peluangnya beraksi dalam kesebelasan utama.
Malah, Amri melihat aspek ini akan membawa kepada peningkatan aspek lain seperti corak permainan dan cara hantaran bola.
“Macam saya tengok, kalau kawal bola, gagal juga. Kawal bola saja, itu salah satu teknik (dalam permainan bola sepak). Kalau teknik kau tak betul, macam mana kau nak main dalam kesebelasan utama? Teknik kena betulkan dahulu.
“Bila teknik sudah betul, Insya Allah kau akan sedikit demi sedikit akan meningkat dari segi corak permainan, cara hantaran dan sebagainya. Itu yang perlu ada dalam seorang pemain muda,” katanya.
PT Athletic kini bersedia untuk aksi ketiga Liga A1 Semi Pro selepas tidak beraksi pada perlawanan kedua.
PT Athletic bakal turun menentang Harini FT di Stadium Utama Kuala Selangor pada 22 Jun.