Jurulatih Kanada, Jesse Marsch melabel semua pemain dan staf kejurulatihan pasukan itu sebagai wira negara susulan kejayaan layak ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2026.
Hal ini dinyatakan beliau kepada mereka selepas tamat perlawanan pusingan 32 pasukan terbaik menentang Afrika Selatan. Kanada mara dengan meraih kemenangan tipis 1-0.
“Anda semua wira Kanada. Masa depan sukan ini (bola sepak) di negara ini jadi besar kerana anda,” kata bekas jurulatih Leeds United itu.
Apabila ditanya tentang perkara sebut oleh pihak media, Marsch mahu semua ahli kontinjen Kanada mengetahui betapa besarnya impak kemenangan mereka kepada bola sepak di negara itu.
Meskipun mengakui tidak dapat melakukannya di Kanada, beliau tetap melihat ini satu detik bermakna. Ini kerana ini memperlihatkan karakter dan semangat berpasukan yang mantap dalam kontinjen pasukan Amerika Utara itu.
“Selepas tamat perlawanan, sukar untuk bersama pasukan anda kerana semua orang ditarik ke arah yang berbeza (untuk temu bual) dengan media dan anda tidak mempunyai masa untuk mengambil detik itu melainkan anda mengambilnya di situ.
“Saya ingin menyuarakan kepada mereka betapa pentingnya detik ini (layak ke pusingan 16 pasukan terbaik) untuk sukan (bola sepak) di negara ini.
“Sayang sekali kami tidak dapat melakukannya di Vancouver, di hadapan peminat kami. Tetapi saya fikir anda melihat karakter, kualiti, mentaliti dan kebersamaan pasukan,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
Kanada bakal bertemu sama ada Maghribi atau Belanda di pusingan seterusnya. Kejayaan ini juga cukup bermakna buat Kanada kerana layak ke pusingan 16 pasukan terbaik buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu.