Pasukan Arab Saudi tepati ramalan apabila berjaya menewaskan Hong Kong dalam aksi persahabatan menjelang sepak mula Piala Asia 2023.
Arab Saudi di bawah kendalian Roberto Mancini terus konsisten mencatat keputusan positif selepas berjaya menewaskan Hong Kong malam semalam.
Saudi memecah kebuntuan perlawanan seawal minit ke-26 permainan menerusi jaringan Abdul Rahman Gharib. Sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil dimanfaatkan Abdul Rahman untuk gol pertama Arab Saudi.
Hasrat Hong Kong untuk menyamakan kedudukan terus tertangguh selepas Fawaz Al-Saqour mencatat nama sebagai penjaring. Jaringan Fawaz memastikan aksi di Stadium Saoud AbdulRahman, Qatar berkesudahan dengan keputusan 2-0 memihak Arab Saudi.
Untuk rekod, ketiga-tiga aksi persahabatan yang dijadualkan Arab Saudi berakhir dengan keputusan positif. Lubnan ditewaskan 0-1 kepada Arab Saudi, selepas itu Arab Saudi seri dengan Palestin 0-0 dan persahabatan terakhir, menang 2-0 atasi Hong Kong.
Arab Saudi akan memulakan kempen Piala Asia dalam saingan peringkat kumpulan berdepan Oman pada Rabu, 17 Januari 2024.