Argentina Seolah-olah Budak Sekolah Yang Baru Belajar Bermain Bola Sepak
MakanBola
Seleccion Argentina

Argentina dilihat hilang arah dan tidak berupaya mengekang cabaran Sepanyol bila kedua-dua pasukan bertemu di pentas final Piala Dunia 2026.

Ini berdasarkan statistik perlawanan kedua-dua pasukan selepas berentap selama 120 minit. Sepanyol dilihat mendominasi penguasaan bola dengan 65% berbanding Argentina (35%).

Usaha Argentina untuk menggerakkan serangan menerusi siri hantaran juga tidak berhasil. Ini kerana La Albiceleste hanya dapat mencipta 463 hantaran berbanding La Roja (852 hantaran).

Keupayaan anak buah Luis de la Fuente menghasilkan hantaran diterjemah menerusi serangan bertubi-tubi ke arah benteng Argentina yang dikawal penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez.

Ini terbukti dengan 20 percubaan, 12 daripadanya percubaan tepat. Ini termasuk gol kemenangan bekas bintang Manchester City, Ferran Torres pada masa tambahan.

Kesukaran Argentina untuk mencipta gerakan turut mengganggu emosi para pemain. Ini terbukti dengan 25 kekasaran yang dilakukan anak buah Lionel Scaloni berbanding Sepanyol (21 kekasaran).

Argentina juga mengutip lima kad kuning dan satu kad merah menerusi Enzo Fernandez. Ini tidak termasuk layangan kad merah ke atas Leandro Paredes yang bergaduh dengan pemain Sepanyol selepas tamat perlawanan.

Paredes dikesan mencekik seorang lagi bekas pemain City, Eric Garcia dan menolak jeneral tengah Barcelona, Pedri. Nahuel Molina pula dikesan menumbuk kapten Sepanyol, Rodri dan insiden itu dipercayai pencetus pertelagahan antara kedua-dua pasukan.

Perilaku Paredes dan Molina selepas perlawanan dijangka menarik perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Ini kerana kedua-dua pemain berpotensi dikenakan hukuman berat atas apa yang berlaku.

Perilaku mereka juga mendapat kecaman bukan saja peminat tetapi juga legenda bola sepak dunia. Legenda Newcastle United, Alan Shearer menyifatkan sikap jelik beberapa pemain terutama Paredes tidak boleh diterima dan merosakkan imej Argentina.