Nama Arif Aiman Hanapi terus menarik perhatian ramai selepas berjaya menggondol anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 sebentar tadi. Ini merupakan kali kedua penyerang JDT itu memenangi MVP selepas memenanginya buat kali pertama dalam ABK 2021.
Liga Malaysia musim ini menyaksikan Arif Aiman menyumbat lapan gol dan merekodkan 16 bantuan gol bersama Harimau Selatan. Selain Anugerah MVP, dia turut menggondol anugerah Pemain Muda Terbaik dan Penyerang Terbaik.
Menariknya, untuk anugerah Penyerang Terbaik, Arif Aiman perlu mengetepikan saingan sengit Darren Lok (PJ City) dan Faisal Halim (Terengganu) yang cemerlang bersama pasukan masing-masing musim ini. Sementara untuk Pemain Muda Terbaik pula, dia berjaya mengatasi cabaran Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor) dan Azam Azmi Murad (Terengganu). Arif Aiman menjadi tonggak penting JDT merangkul empat kejuaraan musim ini iaitu Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Dalam satu kenyataan selepas menerima anugerah MVP, dia memberikan penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pemain muda seperti dirinya untuk mempamerkan kualiti yang dimiliki.
“Tidak dilupakan kepada ketua jurulatih (Hector Bidoglio) dan pegawai JDT yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk beraksi dalam kesebelasan utama pada musim ini. Bagi keluarga saya, terima kasih kerana mendoakan kejayaan saya serta sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya. Tidak dilupakan kepada penyokong JDT yang sentiasa datang ke stadium, berikan sokongan kepada kami.
“Alhamdulillah, musim ini kami banyak menang kejohanan di peringkat domestik. Insya-Allah tahun depan, saya akan jadi lebih baik berbanding musim ini dan harap peminat setia JDT jangan berhenti menyokong kami,” katanya.
ABK 2022 menyaksikan dominasi JDT dalam anugerah berkenaan. Selain Arif Aiman dengan tiga anugerah, Bergson da Silva pula menggondol dua anugerah iaitu Pemain Import Terbaik dan Penjaring Terbanyak Import Liga Super. Manakala Shahrul Saad dan Afiq Fazail pula masing-masing merangkul anugerah Pemain Pertahanan Terbaik dan Pemain Tengah Terbaik. Harimau Selatan turut merangkul anugerah Pasukan Terbaik Liga Malaysia musim ini.