Arif Aiman Jadi Tunjang Utama JDT Kembali Buru Kemenangan Liga Super

arifff Arif Aiman Jadi Tunjang Utama JDT Kembali Buru Kemenangan Liga Super
Johor Southern Tigers
Nik Faris @nikfalovic
6:27pm 11/05/2022

Pemain sayap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dijangka terus menjadi watak penting buat pasukan JDT yang kembali ke pentas saingan Liga Super.

Anak jati kelahiran Pahang ini sedang berada dalam kemuncak prestasinya apabila beraksi cemerlang dalam pentas saingan ACL baru-baru ini.

Beliau menjadi pilihan utama oleh pengendali, Benjamin Mora yang memberi sepenuhnya kepercayaan dan ruang buat pemain berusia 19 tahun ini tampil dengan penuh keyakinan.

Malah, kelibat Arif telah pun mengkucar-kacirkan barisan pertahanan gergasi Korea, Ulsan Hyundai apabila hantaran lintang beliau ditampan masuk ke dalam gawang gol sendiri.

Kelincahan pemain paling bernilai (MVP) untuk melakukan gelecekan selain keberaniannya untuk menewaskan pemain pertahanan lawan seringkali menjadikan beliau salah seorang pemain yang sukar dikawal.

Bukan itu sahaja, pemain sayap pasukan kebangsaan ini juga amat baik terutamanya pada aksi awal musim ini  apabila beliau telah berjaya mencatat 5 bantuan gol ketika memainkan peranan selaku ‘wing-back’ dalam sistem Mora.

Bertemu dengan pendahulu liga, Negeri Sembilan sudah pasti dipandang serius oleh barisan kejurulatihan Harimau Selatan untuk membarisan pemain terbaiknya dalam misi mencari 3 mata.

JDT dan juga Negeri Sembilan kini berada dalam prestasi terbaik untuk memberikan saingan terbaik pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Paroi malam ini.