Arif Aiman Lebur Rekod Safawi Rasid

Arif Aiman 12 Arif Aiman Lebur Rekod Safawi Rasid
Johor Southern Tigers

Pemain muda berbakat besar Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mengejutkan dunia bola sepak tanah air apabila beliau menunjukkan aksi terbaik dalam kemenangan 6-1 menewaskan Penang FC dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Dalam perlawanan tersebut, Arif meledak hatrik untuk membantu pasukan JDT mara ke final Piala FA. Tiga lagi jaringan JDT disumbangkan oleh Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Syahmi Safari.

Disebalik hatrik yang dijelmakan oleh Arif Aiman semalam, sebenarnya Pemain Paling Bernilai (MVP) itu telah meleburkan rekod Safawi Rasid sebagai penjaring hatrik termuda JDT.

Perkara ini telah dikongsikan oleh pasukan JDT sendiri dalam muat naik di laman instagram rasmi pasukan itu.

“Arif Aiman Hanapi muncul pemain termuda Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melakukan jaringan hatrik apabila beliau menjaringkan tiga gol ketika menentang Penang FC dalam perlawanan Piala FA semalam.

“Arif berusia 20 tahun 3 bulan dan 1 hari. Rekod sebelum ini dipegang oleh Safawi Rasid yang menjaringkan hatrik ketika berusia 21 tahun dan 12 hari. Luaskan Kuasamu Johor,” coret JDT dalam muat naik terbaru mereka.

Musim ini merupakan antara musim terbaik Arif Aiman sebagai pemain JDT apabila beliau sudah diturunkan sebanyak 22 perlawanan dalam semua pertandingan. Daripada 22 perlawanan itu, beliau berjaya meledak 3 gol dan menyumbang 11 bantuan gol.