Pemain sayap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi berharap agar perjalanan pasukan berakhir dengan kemanisan apabila pasukannya sudah pun mengesahkan tempat di pentas akhir menentang pasukan KL City FC.
Bukan itu sahaja, pemain kelahiran Maran, Pahang ini menyifatkan ianya seakan impian menjadi kenyataan apabila menjadi tunjang utama pasukan sehingga berjaya mara sejauh ini. Aksi lincahnya di atas padang terus menjadi mimpi ngeri buat lawan terutamanya ketika menumpaskan Terengganu dengan agregat 4-1 di separuh akhir.
’Saya berasa bangga kerana akhirnya dapat merealisasikan impian saya untuk bermain di final Piala Malaysia. Ia seperti mimpi untuk menjadi sebahagian daripadanya dan saya tidak sabar untuk turun ke padang,” kata pemain muda itu dalam temu bual dengan Liga Bola Sepak Malaysia.
Sambil itu, pemain yang sudah pun beraksi sebanyak 28 perlawanan musim ini dengan merendah diri menegaskan bahawa bukan beliau sahaja yang menjadi watak di sebalik kejayaan pasukan tetapi hasil kerja berpasukan.
‘Bukan saya seorang sahaja yang berada di sebalik kejayaan ini. Semua orang bekerja 100% untuk mara ke final. Kami tidak sabar untuk membuat JDT bangga dengan memenangi kejuaraan Piala kedua berturut-turut kami,’-Jelas Arif menurut The Star.
Jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menganggap Arif Aiman Hanapi sebagai seorang pemain yang sangat berpotensi tinggi dan bakal menjadi revolusi bola sepak di negara kita.
Menurut kenyataan beliau, pemain berusia 19 tahun itu mempunyai segalanya untuk menjadi salah seorang pemain terbaik sambil menyifatkan bahawa keberanian yang dimiliki oleh Arif ketika menentang pemain lawan terutamanya pertahanan berpengalaman telah membawa pemain ini ke tahap yang berbeza.