Pemain sayap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi membuktikan beliau kekal tenang dalam kelas tersendiri apabila menampilkan persembahan yang cukup mengujakan minggu ini.
Bintang muda Harimau Selatan ini menjadi watak penting ketika pasukan JDT merakam kemenangan menentang Penang FC dalam aksi pembukaan Liga Super baru-baru ini.
Pemain berusia 20 tahun ini diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan di bahagian kanan kelihatan begitu yakin dan bertenaga setiap kali membantu serangan pasukan JDT.
Persembahan memberangsangkan itu membawa kepada jaringan tunggal pasukan tatkala hantaran lintang ke dalam kotak penalti singgah di kepala penyerang berbisa, Bergson Da Silva untuk menewaskan barisan pertahanan Penang FC.
Arif yang sebelum ini menerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) terus mempamerkan konsistensi dan juga kematangan dalam permainannya sungguhpun beraksi pada posisi yang tidak menjadi kebiasaannya.
Sebelum ini, pemain muda ini telah membantu pasukan untuk meraih Piala Sumbangsih setelah berjaya membalas dendam apabila tewas kepada KL City sebelum ini dengan kemenangan besar 3-0.
Bukan itu sahaja, beliau juga memainkan peranan yang cukup luar biasa apabila menjadi pencetak jaringan untuk membawa JDT ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu.
Kecemerlangan itu membawa pemain kelahiran Pahang ini untuk mewakili Harimau Malaya sungguhpun kempen pada Piala AFF kali ini tidak memihak kepada pasukan negara.
Perlantikan jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon pastinya memberi suntikan semangat kepada beliau untuk terus mendapat kepercayaan bagi mengisi kesebelasan utama pasukan menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.