Arsenal Alami Kerugian RM243 Juta
EPL
Arsenal FC
Advertisements

Ketika ini, Arsenal berada di puncak EPL dengan 37 mata, lima mata di hadapan Manchester City. Tetapi sekiranya pengurus Mikel Arteta mahu berbelanja pada musim perpindahan Januari, beliau bakal berdepan masalah. Ini kerana Gunners baru saja melaporkan mengalami kerugian £45 juta (RM243 juta) untuk tahun kewangan 2021.

Walaupun bil gaji mereka mengalami penurunan sekitar £34 juta (RM183 juta), pendapatan penyiaran mereka juga turut berkurangan dari £184.4 juta (RM995 juta) kepada £146 juta (RM788 juta). Ini disebabkan pada tahun tersebut, Arsenal tidak bersaing dalam saingan liga Eropah pada musim lepas.

Walaupun Gunners kembali ke saingan Eropah menerusi Liga Europa, pulangan wang penyiaran sebanyak £10 juta (RM54 juta) tidak sebanyak wang penyiaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Chelsea misalnya difahamkan menerima wang penyiaran sekitar £60 juta (RM324 juta) selepas berjaya melepasi peringkat kumpulan UCL musim lepas.

Advertisements

Dari segi penjimatan gaji, kelab boleh menghela nafas lega kerana tidak perlu menanggung gaji Pierre-Emerick Aubameyang, Willian dan David Luiz. Ini memberi ruang besar kepada pengarah sukan kelab Edu dan Arteta untuk menarik pemain-pemain menyertai Gunners sepanjang dua musim. Antara yang menyertai kelab dalam tempoh itu ialah kapten Martin Odegaard, Ben White, Aaron Ramsdale, Gabriel Jesus, Oleksandr Zinchenko dan Fabio Vieira.

Semua pemain menyertai kelab dengan pembiayaan yuran perpindahan sebanyak £187.9 juta (RM1.01 bilion) oleh pemilik Stan Kroenke menerusi syarikatnya, Kroenke Sports & Entertainment. Tetapi persoalannya, mampukah Gunners bersaing dengan kelab-kelab EPL lain untuk musim perpindahan bulan hadapan?

Ini kerana Arteta dikhabarkan sedang mengintai beberapa pemain bagi memperkukuh skuad Gunners. Antara nama yang dicanang ialah pemain sayap Shakhtar Donetsk, Mykhailo Mudryk dan pemain tengah Leicester City, Youri Tielemans. Tetapi dengan kemampuan kewangan yang terhad, agak sukar bagi Arsenal bersaing dengan Newcastle United, Liverpool dan Manchester City dalam mendapatkan pemain yang disasarkan.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram