Skuad sepak takraw Malaysia mengesahkan kemaraan ke separuh akhir acara regu Sukan Asia 2023 selepas menewaskan Singapura dalam aksi kedua Kumpulan A.
Malaysia tahu satu lagi kemenangan bakal mengesahkan kemaraan mereka ke separuh akhir sebagai juara kumpulan. Ini sekaligus membantu skuad negara mengelak Thailand di pentas separuh akhir.
Skuad negara menurunkan Zarif Merican, Amirul Zazwan Amir dan Afifuddin Razali. Manakala negara jiran di seberang Tambak Johor itu pula menurunkan A’fif Safiee, Ramli Saari dan Asy Syariq Khalid.
Trio negara tampak tidak berdepan masalah mengatasi Singapura pada set pertama dengan keputusan 21-10 dengan tempoh perlawanan 20 minit.
Regu negara terus mendominasi lawan mereka itu dengan persembahan mantap di set kedua. Mereka meraih kemenangan 21-6 dengan durasi 14 minit.
Malaysia berharap dapat mengulangi pencapaian pingat emas acara regu yang dimenangi dalam Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia.