Asian Games: Regu Malaysia Mara Ke Final, Atasi Cabaran Filipina

Malaysia Sukan Asia PSM 2 1 Asian Games: Regu Malaysia Mara Ke Final, Atasi Cabaran Filipina
PSM
Azim Noor @mohdazim45
3:22pm 06/10/2023

Seperti dijangka, skuad sepak takraw Malaysia berjaya mara ke saingan final acara regu lelaki Sukan Asia 2023 selepas mengenepikan cabaran Filipina.

Selepas menjuarai Kumpulan A semalam, skuad negara menghela nafas lega kerana tak perlu bertemu dengan musuh tradisi, Thailand di separuh akhir.

Malaysia mempertaruhkan Syahir Rosdi sebagai tekong dengan Amirul Zazwan Amir dan Azlan Alias masing-masing sebagai feeder dan killer.

Sementara Filipina pula menurunkan Ronsited Gabayeron sebagai tekong. Manakala Rheyjey Ortouste dan Jason Huerte berperanan sebagai feeder dan killer.

Set pertama menyaksikan Filipina cuba memberi tentangan kepada regu negara. Begitupun, trio negara yang amat dikenali peminat Sepak Takraw League (STL) itu kekal tenang dan berjaya menguasai set pertama dengan keputusan 21-15.

Set kedua menyaksikan regu negara terus menguasai perlawanan. Biarpun cuba ditentang Filipina, pada akhirnya mereka akur kepada kehebatan regu Malaysia dengan keputusan 21-11.

Kemenangan ini memastikan Malaysia bertemu dengan Thailand di pentas final esok. Skuad negara berharap dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Palembang lima tahun sebelumnya.