Atletico Madrid mengambil keputusan drastik dengan menghantar aduan rasmi kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) susulan tindakan segelintir penyokong Arsenal.
Aduan daripada Atletico Madrid ini dibuat gara-gara tindakan segelintir peminat Arsenal yang berusaha mengganggu tidur pemain dan staf Atletico Madrid sehari sebelum aksi separuh akhir UCL.
Menurut wartawan terkemuka, Fabrizio Romano, ada usaha dari penyokong tidak bertanggngjawab yang berusaha bagi mengganggu waktu rehat pemain-pemain dan staf Atletico Madrid.
Gangguan tersebut dibuat dengan cara membakar mercun dan bunga api pada jam 1.30 pagi untuk mengganggu para pemain yang sedang beristirehat serta tidur menjelang aksi penting UCL .
“Penyokong Arsenal menyalakan bunga api berdekatan hotel penginapan Atlético Madrid di London kira-kira jam 1:30 pagi ketika para pemain sedang tidur,” lapor Fabrizio Romano.
“Sekumpulan individu dilaporkan menghampiri hotel tersebut dalam cubaan untuk mengganggu rehat pasukan selain lebih daripada seorang pemain dan staf terkesan dengan insiden ini.”
Susulan itu, pihak pengurusan Atletico Madrid mengambil langkah drastik dengan mengirimkan aduan kepada UEFA beserta laporan terperinci berkenaan kronologi insiden ini.
“Atlético Madrid bertindak pantas dengan membuat laporan kejadian itu dan memperincikan kronologi insiden buat pihak UEFA,” tambah laporan beliau.
Walaupun berjaya menghantar aduan tersebut, akan tetapi Atletico Madrid terpaksa akur apabila tersingkir dari pentas UCL selepas tumpas 1-2 secara agregat kepada Arsenal di pusingan separuh akhir.
Jaringan tunggal Bukayo Saka pada penghujung babak yang pertama jadi pemisah antara Arsenal beserta Atletico Madrid sekali gus membantu The Gunners ke final UCL untuk kedua kalinya.