Pendatang baru A-League, Auckland FC mencipta kejutan dengan menewaskan Brisbane Roar dalam aksi pembukaan liga musim 2024/25.
Selepas berjaya mengikat Malaysia 1-1 dalam aksi persahabatan tertutup pada 11 Oktober lalu, anak buah Steve Corica dilihat sudah bersedia menghadapi kempen A-League.
Kempen wakil kedua New Zealand dalam liga utama Australia itu diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain kebangsaan Jepun, Hiroki Sakai, Louis Verstraete (Belgium) dan Luis Felipe Gallegos (Chile).
Meskipun berdepan The Roar yang dilihat lebih berpengalaman, The Black Knights terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kelapan.
Harry Van Der Saag bernasib malang apabila beliau tertampan hantaran deras yang dilakukan Sakai dalam kotak penalti ke dalam gawangnya sendiri.
Tersentak, Brisbane berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi tidak berhasil. Ini memaksa jurulatih mereka, Ruben Zadkovich membuat beberapa pertukaran pemain termasuk kemunculan pertama buat penyerang Indonesia, Rafael Struick.
Usaha The Roar mengubah momentum perlawanan musnah apabila Logan Rogerson meledakkan gol pertamanya bersama Auckland pada minit ke-74.
Kemenangan 2-0 ini membolehkan The Black Knights menerajui carta liga A-League dengan kelebihan jaringan.
Selepas ini, Auckland akan menentang Sydney FC pada 27 Oktober. Manakala Brisbane pula akan menentang lawan yang sama pada 1 November ini.