Sabah berjaya menempah tiket ke saingan AFC Women’s Champions League (AWCL) setelah menumbangkan wakil Uzbekistan dalam saingan kelayakan pada Sabtu.
Setelah berjaya mengikat juara Nepal, APF FC pada Rabu lalu, Sabah berdepan misi wajib menang ke atas PSF Nasaf yang hanya memerlukan seri untuk layak ke saingan utama AWCL.
Kesebelasan utama Sabah masih diketuai oleh Steffi Sarge Kaur selaku pertahanan tengah sementara PSF Nasaf pula mempertaruhkan Shoyimova di jentera serangan.
Turun berjersi serba merah, gawang Sabah terlebih diuji menerusi percubaan penyerang Nasaf, Karachik seawal minit pertama namun Azurin Mazlan bertindak cemerlang menafikannya.
Ketika Nasaf rancak mengatur gerak, Sabah mengambil peluang untuk membuka tirai jaringan hasil rembatan kaki kanan penyerang import Myanmar, Win Theingi Tun pada minit ke-32.
Seminit sebelum rehat, pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah setelah Henrietta dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh penjaga gol Nasaf, Gulomova.
Walau bagaimanapun, tendangan Eri Narita diselamatkan oleh Gulomova sebelum percubaan susulan daripada Win Theingi Tun meletakkan Sabah mendahului 2-0 sebelum rehat.
Separuh masa pertama tamat, PSF Nasaf 0-2 Sabah.
Kembali dari rehat, perlawanan bertambah sengit dengan pasukan pelawat semakin terdesak untuk mencari jaringan dengan membawa masuk beberapa pemain dari bangku simpanan.
Lapan minit sebelum tamat permainan, usaha Nasaf membuahkan hasil apabila berjaya menyumbat gol hasil tandukan Ngonja yang menewaskan Azurin Mazlan buat kali pertama.
Aksi di Stadium Likas berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Sabah.
Kemenangan ini membawa Sabah ke saingan utama AWCL setelah menamatkan aksi kelayakan di tangga teratas dengan empat mata daripada dua perlawanan.
Sabah akan berada di kumpulan A dalam saingan AWCL nanti bersama juara Liga Wanita Korea, Hyundai Steel Red Angels dan wakil dari China, Wuhan Jiangda selain juara kelayakan bagi kumpulan A.