Umum mengetahui, Nor Hakim Hassan sudah berhijrah ke Terengganu FC sejak musim lalu. Namun ramai yang tidak mengetahui, jiwa anak beliau masih ada bersama Selangor FC.
Baru-baru ini, telah tular satu video di aplikasi Tiktok yang memaparkan seorang peminat cilik Terengganu sedang menangis ketika menonton perlawanan di antara Terengganu dan Selangor.
Peminat cilik itu adalah adik Harraz yang merupakan anak kepada Nor Hakim Hassan. Adik Harraz dikatakan menangis kerana melihat bekas rakan sepasukan Nor Hakim iaitu Selangor menentang Terengganu yang diwakili Nor Hakim.
“Bila lawan bekas rakan sepasukan papa (Nor Hakim), tapi sekarang dah sarung jersi Terengganu. Namun jiwa (Harraz) masih di sana (Selangor),” coret pemilik akaun Tiktok, Mummy Harraz.
Video tangisan Adik Harraz itu tidak terhenti di situ apabila video berikutnya memaparkan barisan pemain Selangor melayan kerenah beliau ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA tempoh hari.
Nor Hakim Hassan adalah anak kelahiran Terengganu dan berhijrah pada musim lalu selepas kurang mendapat tempat di dalam pasukan Selangor ekoran rehat panjang disebabkan mengalami kecederaan.