Perancang tengah negara, Azam Azih menerima penghargaan tertinggi daripada Bekas Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu tidak lagi bersama skuad kebangsaan selepas dua tahun 6 bulan menggalas tugas.
Beliau dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro Arena telah memberikan beberapa nama pemain yang dirasakan memiliki kriteria tersendiri.
Pan-gon memuji kualiti kaki kanan yang dimiliki oleh Faisal Halim sambil menyifatkan bahawa Safawi Rasid memiliki sentuhan kaki kiri ajaib.
Jurulatih berusia 55 tahun ini tidak lekang senyuman ketika bercerita mengenai para pemainnya dan menyifatkan dua pemain sebagai tunjang utama gerakan skuad kebangsaan.
Menurut pemerhatian Kim Pan-gon, dua pemain yang memiliki kebijaksanaan di atas padang ialah Syamer Kutty dan juga Azam Azih.
“Menurut pandangan saya, Syamer Kutty dan juga Azam Azih (Sri Pahang) memiliki kebijaksaan ketika beraksi,” jelasnya.
Azam Azih merupakan watak penting negara sekitar tahun 2018-2022 sebelum terpalit dengan beberapa siri kecederaan.
Beliau beraksi cemerlang ketika membantu skuad negara pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 untuk layak ke Piala Asia selepas 43 tahun.

Kim Pan-gon turut menyifatkan bahawa Brendan Gan merupakan antara pemain yang memiliki kekuatan fizikal dan mental yang baik selain mempunyai ciri kepimpinan yang baik.
Beliau kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab K-League, Ulsan HD dan juga pasukan kebangsaan Hong Kong buat kali ke-3.