Pemain pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad mahu kembali ke tahap terbaik selepas diberi kepercayaan beraksi dalam kesebelasan utama untuk aksi suku akhir pertama Piala FA 2024.
Sebelum ini, pemain pertahanan berusia 23 tahun terpaksa berehat lama akibat kecederaan semasa beraksi untuk Harimau Malaya pada Mac lalu.
Masalah kecederaan sama turut menghalang Azam daripada menyertai skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) untuk kempen Piala Asia B-23 2024.
Kini, selepas beraksi buat kali pertama untuk musim 2024/25, beliau mahu mendapatkan prestasi terbaik. Dan Piala FA disifatkan pentas terbaik buat Azam berbuat demikian.
“Alhamdulillah semakin hari saya semakin bersemangat untuk terus berlatih dan memberikan yang terbaik di atas padang selepas agak lama berehat akibat kecederaan.
“Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi oleh jurulatih setiap kali turun beraksi dan tidak sangka saya dapat beraksi penuh tempoh hari untuk membantu pasukan raih kemenangan.
“Apa pun, saya masih belum berpuas hati dan perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan momentum terbaik seperti biasa dan yang paling penting adalah perlu mengelakkan daripada sebarang kecederaan lagi selepas ini,” katanya.
Khidmat Azam dijangka ditagih jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner untuk aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 menentang Sabah FC.
Skuad Penyu membawa bekalan empat gol ke Stadium Likas selepas membelasah skuad Badak 4-0 pada 29 Jun lalu. Aksi suku akhir kedua bakal berlangsung pada 6 Julai ini.