Walaupun digantung dua perlawanan susulan insiden kad merah semasa menentang Vietnam di Hanoi baru-baru ini, itu langsung tidak mematahkan semangat bek kanan negara, Azam Azmi Murad.
Ini kerana insiden tersebut menjadikan dirinya lebih matang. Dan Azam berharap ia tidak akan berulang untuk masa akan datang.
Ketika ini, slot bek kanan diisi oleh bek kanan Selangor, Quentin Cheng. Quentin tidak menghampakan kepercayaan Kim Pan-gon kepadanya dengan membantu Harimau Malaya membenam Singapura 4-1 dan menang tipis ke atas Thailand 1-0.
Walaupun sedar dengan cabaran merebut semula slot bek kanan, bek kanan Terengganu itu bersedia dipanggil semula untuk aksi kedua separuh akhir Piala AFF 2022 menentang Thailand Selasa ini.
“Bagi saya benda ini pengalaman baharu untuk saya sebab saya tak pernah kena kad merah, jadi ia mematangkan saya.
“Kalau diberi peluang, saya akan beri sepenuh hati dan tak beri Thailand jaringkan gol. Kita nak buru gol dan pergi ke final,” katanya semasa ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Skuad kebangsaan bertolak ke Bangkok, Thailand hari ini untuk aksi kedua separuh akhir menentang skuad Gajah Perang. Sekiranya berjaya menjinakkan anak-anak buah Mano Polking itu, Harimau Malaya bakal membuat kemunculan pertama di final sejak edisi 2018.