Advertisements
Azim Al-Amin Mahu Selangor Fokus Dua Aksi Terakhir
ACL
MakanBola
Selangor FC

Penjaga gol Selangor, Azim Al-Amin mahu rakan sepasukan untuk segera melupakan kekalahan kepada Jeonbuk Hyundai dan fokus untuk perlawanan berikutnya.

Skuad Gergasi Merah terbang ke Korea Selatan berbekalkan status selaku pendahulu kumpulan H dengan tujuh mata selain turut mencatat kemenangan ke atas Kedah hujung minggu lalu.

Walau bagaimanapun, momentum cemerlang itu disekat oleh Jeonbuk Hyundai dalam aksi keempat pada Khamis dengan jaringan tunggal oleh Tiago Orobo menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan.

Menurut Azim, para pemain Selangor sudah pun memberikan persembahan terbaik meskipun sedar dengan cabaran serta kesukaran yang dihadapi ketika beraksi di gelanggang lawan ini.

”Kami semua sudah berikan aksi yang terbaik namun tidak mudah untuk bermain di sini (Korea Selatan),” komen Azim kepada Astro Arena.

Walaupun dihimpit rasa kecewa, Azim memilih untuk kekal fokus dan positif memandangkan Selangor masih memiliki dua lagi perlawanan peringkat kumpulan untuk ditempuhi.

”Sudah tentu kami sedih dan kecewa hari ini tetapi kita masih ada 2 perlawanan dan kita perlu fokus bagi aksi seterusnya,” tambah penjaga gol muda itu lagi.

Mengulas mengenai jaringan Jeonbuk itu, Azim merasakan para pemain seperti tidak bersedia dengan situasi bola mati itu dan mahu rakan sepasukan bangkit dan mencuba lagi di masa akan datang.

“Gol pihak lawan hadir menerusi situasi bola mati (sepakan penjuru) kerana kami tidak bersedia dengan itu, tetapi tidak mengapa kita akan cuba untuk aksi berikutnya.”

Keputusan di Jeonju World Cup Stadium ini menyaksikan kedudukan Selangor di tempat pertama kini dipintas oleh Jeonbuk dengan perbezaan dua mata dan berbaki dua aksi.

Selepas ini Selangor bakal melayani kunjungan Muangthong United di Kelana Jaya sementara Jeonbuk Hyundai pula akan menanti kelab tercorot, DH Cebu pada 28 November nanti.