Jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang terus membuktikan dirinya sebagai antara pelumba elit dalam arena berbasikal trek dunia.
Ini selepas beliau berjaya menggondol pingat emas Piala Negara-Negara UCI dalam acara keirin di Adelaide, Australia hari ini.
Azizulhasni mengungguli final acara keirin dengan merekodkan catatan masa 9.91 saat dengan kelajuan 72.6 km sejam.
Beliau mengatasi cabaran dua jaguh berbasikal trek dari Jepun, Shinya Nakano dan Kaiya Ota. Nakano dan Ota masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga.
Disebabkan kedudukan Azizulhasni dan Nakano rapat semasa melintasi garisan penamat, kaedah foto penamat digunakan untuk menentukan pemenang.
Pemeriksaan pada foto penamat mendapati roda basikal beliau terlebih dahulu melintasi garisan penamat sebelum disusuli oleh Nakano.
Sementara jaguh berbasikal trek United Kingdom, Jack Carlin dan jaguh Australia, Matthew Richardson pula terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat dan kelima.
Manakala pelumba trek China, Xue Chenxi melengkapkan senarai pelumba final acara keirin dengan menduduki tempat keenam.