Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil memberikan respon ringkas selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengabaikan perancangan beliau untuk misi ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Azizulhasni menerusi satu hantaran di Instagram Story & laman X memuat naik mesej yang cukup ringkas namun mencuri perhatian.
“Mereka fikir mereka boleh memperbodohkan rakyat. Terima kasih di atas sokongan kalian,” tulis Azizulhasni di laman X.
Kenyataan tersebut hadir selepas MSN tampil memberikan penjelasan bahawa pihaknya sentiasa memberikan sokongan terhadap perancangan Azizulhasni untuk menghadapi temasya besar termasuk LA28.
Menurut MSN, beberapa siri pertemuan telah diadakan bersama Azizulhasni sejak Julai lalu termasuk perbincangan berkaitan laluan kelayakan Olimpik, sokongan sains sukan dan perubatan serta pelaksanaan program latihan secara hibrid di Kuala Lumpur dan Melbourne.
MSN turut mendakwa pertemuan pada 13 Ogos lalu telah memperteguhkan sokongan terhadap Azizulhasni, selain cadangan pemberian geran kepadanya akan diteruskan seperti sebelum ini.
Malah, MSN memaklumkan cadangan keperluan yang diperlukan Azizulhasni telah diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada hari yang sama sebelum pihaknya menghantar e-mel pada 27 Ogos lalu bagi memuktamadkan pelan program dan anggaran perbelanjaan.
Namun, pendirian Azizulhasni sebelum ini adalah beliau masih menunggu jawapan rasmi dan konkrit daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN berhubung sama ada khidmatnya benar-benar diperlukan untuk misi kelayakan LA28.
Dalam kenyataan panjang yang dimuat naik sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut bukan soal sama ada dirinya mahu meneruskan karier atau tidak, sebaliknya sama ada Malaysia masih memerlukan khidmatnya untuk memburu kelayakan ke LA28.
Azizulhasni turut menegaskan bahawa beliau memerlukan kepastian bagi membolehkan segala perancangan berkaitan latihan, pertandingan, keluarga dan penaja disusun lebih awal.
Perkembangan terbaharu ini sekali gus menunjukkan isu berkenaan masih belum berakhir meskipun MSN sudah tampil memberikan penjelasan rasmi, manakala Azizulhasni pula memilih untuk memberikan respon ringkas menerusi media sosialnya.
Kini, perhatian pastinya terarah kepada perkembangan seterusnya antara Azizulhasni, KBS dan MSN berhubung hala tuju jaguh negara itu dalam misi memburu tiket ke LA28.