Kekalahan besar 0-6 yang menimpa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya sukar untuk diterima terutamanya penyokong setia Hijau Kuning. Tiada saingan yang hebat dapat ditunjukkan oleh anak buah Nafuzi Zain.
Dengan kekalahan yang besar itu, ada penyokong yang memberi cadangan supaya Kedah mendapatkan semula khidmat bekas jurulatih mereka, Azraai Khor Abdullah yang memenangi tiga trofi dalam semusim selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.
Namun, Azraai mendedahkan bahawa beliau telah pun bersara daripada karier kejurulatihan dan mohon semua pihak memberikan Nafuzi masa untuk membentuk pasukan Kedah yang lebih mantap.
“Saya sudah bersara dari kejurulatihan. Jangan dibandingkan dengan kejayaan saya era ‘Double Treble’. Masa dah berlalu. Yang penting beri Coach Nafuzi Zain masa untuk membentuk team. Kena yakin dengan proses yang beliau rancang,” luah Azraai dalam status Facebooknya yang terkini.

Dalam pada itu, Azraai juga meluahkan rasa kasihannya kepada pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang sudah berusaha berbagai cara demi melihat ‘Sang Kenari’ terbang dengan lebih tinggi. Biarpun telah bersara dari kejurulatihan, Azraai tidak menolak untuk beri bantuan jika diperlukan.
“Kesian kat owner kita Tan Sri Daud Bakar. Setelah beliau usaha macam-macam demi pasukan kita, tapi pemain bersikap sambil lewa. Apa sekali pun, saya sedia membantu sekiranya pasukan memerlukan nasihat & tunjuk ajar melalui pengalaman saya perolehi kejayaan lampau. Coach Nafuzi Zain kenal saya,” jelas Azraai lagi.